Home | Email Us | Sitemap | Login   

   

Press Release

Title: Bangunkan negara bersama kanak-kanak berkeperluan khas
Date: 21-May-2018
Source/Author: Dr Wong Woan Yiing, Datuk Dr Amar-Singh HSS, Prof Dr Toh Teck Hock, Ms Ng Lai Thin

Bangunkan negara bersama kanak-kanak berkeperluan khas



Malaysia telah mengalami peralihan kuasa pemerintahan secara aman yang selaras dengan suara rakyat. Ternyata detik yang bersejarah ini membanggakan semua rakyat Malaysia.

Majlis Intervensi Awal Kanak-Kanak Kebangsaan (NECIC) ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia.

NECIC terdiri daripada kumpulan ibu bapa, pendidik, pegawai terapi dan golongan profesional dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan di Malaysia yang giat memperjuangkan hak asasi kanak-kanak berkeperluan khas (ataupun digelar OKU) untuk menerima intervensi awal.

NECIC menyeru agar kerajaan baru ini mempertimbangkan hala tuju yang baru mengenai amalan dan perkhidmatan untuk kanak-kanak berkeperluan khas serta komuniti mereka.

Kanak-kanak berkeperluan khas wujud dalam semua golongan masyarakat, tidak kira jantina, kaum, budaya dan warganegara.

Anggaran data menganggarkan bahawa 15 peratus - atau kira-kira 1.2 juta - kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah di negara kita mempunyai ketidakupayaan.

Namun, mereka boleh mencapai kecemerlangan dengan peruntukan pendidikan berkualiti yang disampaikan secara inklusif.

Amalan semangat inklusif, sama ada dari segi pendidikan atau pun sosial, memupuk sikap penerimaan terhadap kepelbagaian manusia serta mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Konsep Inklusif bukan saja melibatkan golongan orang berkeperluan khas. Inklusif adalah secara sejagat.

Konsep Inklusif berteraskan usaha semua golongan masyarakat dari latar belakang yang pelbagai untuk belajar antara satu sama lain serta menjalankan kehidupan bersama-sama tanpa perbezaan jantina, kaum, kepercayaan, budaya sosial, asal-usul tempatan dan ketidakupayaan.

Justeru, kami dari NECIC ingin memberi beberapa cadangan kepada kerajaan baru mengenai isu kanak-kanak berkeperluan khas:

  • Merealisasikan pendidikan inklusif

Ia penting untuk membolehkan kebanyakan kanak-kanak berkeperluan khas belajar bersama rakan sebaya tanpa keperluan khas dalam suasana yang inklusif.

Kami menyeru taska dan tadika menerima kanak-kanak berkeperluan khas dengan fikiran yang lebih terbuka.

Para pendidik intervensi awal boleh memberi bimbingan dan sokongan kepada para guru untuk melaksanakan pendidikan inklusif di sekolah mereka.

Memorandum untuk Pendidikan Inklusif yang dibentangkan NECIC mengandungi cadangan-cadangan untuk pelaksanaan dan langkah-langkah peralihan untuk memupuk konsep inklusif.

Selain itu, NECIC juga telah menyediakan modul latihan yang mengandungi strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran inklusif yang sesuai untuk negara kita.

Petunjuk prestasi utama (KPI) semasa bagi sekolah-sekolah masih bersifat pengecualian, dan tidak memberi sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas mencapai kecemerlangan di kelas arus perdana.

Kami mencadangkan supaya ia digantikan dengan KPI Inklusif, serta menjadikan dasar “tidak mengecualikan anak-anak” (leave no child behind) sebagai pedoman.

  • Latihan golongan professional

Dalam Kajian mengenai Pengetahuan, Sikap dan Amalan terhadap Kanak-Kanak Kurang Upaya oleh Unicef Malaysia pada 2016, ternyata kesedaran dan pengetahuan tentang ketidakupayaan di negara kita amat terhad.

Kebanyakan program universiti perubatan dan perguruan tidak merangkumi latihan tentang ketidakupayaan untuk graduan-graduan, sedangkan golongan berkeperluan khas membentuk 15 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia.

Kami menyeru supaya semua pihak yang terlibat dengan kanak-kanak dalam pekerjaan mereka mendapatkan latihan kesedaran dan pengetahuan mengenai keperluan khas, seperti disability equality training yang berasaskan perspektif model sosial.

  • Memperkasakan keluarga

Selain daripada itu, kami percaya ia adalah penting untuk memperkasakan keluarga bagi memimpin dan meneraju usaha advokasi kanak-kanak berkeperluan khas.

Ibu bapa ialah orang yang paling memahami keperluan anak-anak mereka. Oleh itu, mereka berkemampuan mengadaptasikan bentuk intervensi dan terapi bagi memenuhi keperluan anak-anak mereka.

Pandangan ibu bapa haruslah diberi perhatian dan dipertimbangkan secara teliti untuk membentuk perkhidmatan yang cermat kos.

  • Jadual yuran untuk perkhidmatan terapi

Yuran perkhidmatan terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas kian meningkat di sektor swasta. Meskipun perkhidmatan-perkhidmatan tersebut ditawarkan di sektor awam, senarai menunggu selalunya panjang.

Hakikatnya kanak-kanak berkeperluan khas tidak mampu menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan yang sewajarnya. Justeru ibu bapa terpaksa mendapatkan perkhidmatan tersebut dari sektor swasta.

Ini banyak membebankan keluarga dari segi kewangan. NECIC menyeru kerajaan supaya mengawal selia perkhidmatan-perkhidmatan ini dan mewujudkan jadual yuran pembayaran maksimum.

Perkhidmatan tersebut termasuk terapi pertuturan, fisioterapi, terapi cara kerja, terapi psikologi klinikal dan perkhidmatan intervensi awal (EIP).

  • Inklusif dalam komuniti

Kami menyeru pemimpin negara dan semua warga Malaysia untuk melibatkan diri dengan aktifnya dengan orang dan kanak-kanak berkeperluan khas serta anggota keluarga mereka.

Selain bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan masyarakat dan pekerjaan, kita juga memastikan pembangunan infrastruktur, bangunan dan kawasan komuniti, serta aktiviti-aktiviti komuniti dan lain-lainnya lebih inklusif terhadap individu berkeperluan khas.

Kita juga perlu memperkembangkan perwakilan dan inklusif golongan keperluan khas di media. NECIC berharap perancangan dan penggubalan dasar-dasar sosial akan merangkumi penglibatan yang konstruktif daripada golongan orang dan kanak-kanak berkeperluan khas.

Dengan tulus ikhlasnya, kami berharap kerajaan baru akan menyokong semua rakyat Malaysia untuk menjunjung semangat Inklusif. Yang penting, kita belajar untuk mendengar, memahami dan membalas dengan rasa hormat dan kasih sayang terhadap kanak-kanak berkeperluan khas dan keluarga mereka.

Kita perlu menegakkan hak kanak-kanak berkeperluan khas sebagai warganegara dan tidak mengecualikan mereka.

Kejayaan sebuah negara bukan dinilai dari segi harta benda semata-mata.

Keprihatinan kita terhadap kanak-kanak berkeperluan khas dan keluarga merekalah akan membentuk negara kita.


Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh Dr Wong Woan-Yiing (presiden NECIC, pakar perunding pediatrik), Datuk Dr Amar-Singh HSS (penasihat NECIC, pakar perunding pediatrik), Prof Dr Toh Teck Hock (naib presiden NECIC, pakar perunding pediatrik) dan Ng Lai Thin (pegawai projek NECIC).


Source:
Bangunkan negara bersama kanak-kanak berkeperluan khas (PDF)

Malaysiakini
https://www.malaysiakini.com/letters/425980



[ Back ] [ Print Friendly ]